KOTA KINABALU: Sebanyak 17 ajaran sesat atau menyeleweng dikenal pasti di Sabah setakat ini, dengan satu lagi ajaran berpotensi diwartakan selepas mendapat keputusan rasmi pihak berkuasa agama negeri.
Exco Agama, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Jabatan Mufti Negeri Sabah berhubung perkembangan terkini ajaran berkenaan.
“Setakat ini, jumlahnya 17 dan saya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pejabat mufti Kerajaan Negeri Sabah sekiranya ada perkembangan baharu.
“Namun, yang sangat penting bukan jumlahnya, tetapi bagaimana kita memberikan kesedaran, maklumat dan keinsafan kepada masyarakat mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenazah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pada Jumaat.
Arifin berkata, orang ramai perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya meragui sesuatu ajaran, termasuk yang dibawa oleh individu yang mengaku sebagai pendakwah atau pengamal agama.
Menurutnya, antara pihak yang boleh dirujuk ialah MUIS, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Mufti Negeri Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana individu, termasuk pendakwah dari luar negeri yang ingin menyampaikan pengajaran agama Islam di Sabah, wajib mendapatkan tauliah daripada JHEAINS serta menjalani temu duga oleh pejabat mufti.
“Ini antara cara kita membendung ajaran menyeleweng. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan sesuatu ajaran itu sesat atau salah.
“Penentuannya mesti berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama dan ajaran yang telah difatwakan oleh Majlis Ugama Islam Sabah,” katanya.
Mengulas kemungkinan jumlah ajaran menyeleweng meningkat kepada 18, Arifin berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama sebelum proses pewartaan dilaksanakan.






