Sabah Sasar 400,000 Hektar Ladang Hutan Menjelang 2035

Sabah Sasar 400,000 Hektar Ladang Hutan Menjelang 2035

0
SHARE
Sumber Foto: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia...

KUALA LUMPUR – Sabah menyasarkan 400,000 hektar ladang hutan menjelang 2035 sebagai langkah pengurangan kebergantungan terhadap kayu balak di hutan simpan, di samping mengukuhkan tanaman hasil kayu di negeri itu.

Ketua Bahagian Pengurusan Hutan Lestari, Jabatan Perhutanan Sabah Musa Salleh berkata setakat ini, 106,000 hektar ladang hutan sudah dibangunkan dengan belanja RM1.6 bilion.

Beliau berkata industri balak masih menjadi penyumbang utama ekonomi Sabah, selain memastikan pengurangan jumlah konsesi pembalakan sebagai langkah proaktif dalam menggalakkan pengurusan hutan mampan (SFM) dan untuk itu penting memastikan pelan jangka panjang berkenaan.

“Pada 2031, Sabah menyasarkan enam juta meter padu kayu tanaman dari ladang hutan akan dikeluarkan secara konsisten sehingga tahun seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar ‘Perhutanan: Pengurusan Hutan Tak Lapuk Dek Hujan, Tak Lekang Dek Panas’, anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Perhutanan Sabah.

“Sekiranya 400,000 hektar ladang hutan berjaya diwujudkan dengan anggaran 200 meter padu per hektar bagi tempoh ‘rotation’ selama 10 tahun, disasarkan lapan juta hektar kayu tanaman boleh dikeluarkan dari ladang hutan,” katanya.

Musa berkata kos penubuhan ladang hutan dianggarkan RM10,000 untuk satu hektar dan pelaburan RM2.4 bilion atau RM170 juta setahun diperlukan bagi melengkapkan 240,000 hektar lagi hutan simpan menjelang 2035.

Katanya, inisiatif ini adalah pelaburan besar namun kerajaan Sabah mengorak langkah ke arah usaha tersebut melalui beberapa pelan termasuk Pelan Induk Industri Kayu Balak Sabah dan Pelan Transformasi Perladangan (TPP).

Sementara itu, selain menghasilkan produk-produk hasil kayu, sumber hutan untuk industri berasaskan karbon turut dibangunkan bagi memberikan pelaburan tinggi kepada negara.

Menurut kajian, Sabah mempunyai 1.33 juta hektar hutan karbon yang boleh menyumbang potensi pelaburan lebih kurang RM1.95 bilion.

Musa berkata usaha ladang hutan ini bagi menjamin sumber bekalan bahan mentah untuk industri berasaskan kayu yang mencukupi untuk jangka masa panjang selain melindungi dan memulihara kepelbagaian biologi flora dan fauna hutan hujan tropika yang menjadi pemangkin nadi kepada perkembangan pesat industri pelancongan Sabah.

– BERNAMA