Sabah Sasar SSL Beras 30 Peratus Menjelang 2030, Jamawi Garis Dua Strategi...

Sabah Sasar SSL Beras 30 Peratus Menjelang 2030, Jamawi Garis Dua Strategi Utama

0
SHARE

KENINGAU: Sabah menyasarkan kadar Sara Diri (SSL) beras meningkat kepada kira-kira 30 peratus menjelang 2030 menerusi pelaksanaan dua strategi utama iaitu membuka semula kawasan sawah padi terbiar serta meningkatkan produktiviti pengeluaran menggunakan teknologi moden, mekanisasi dan dron.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sasaran itu penting bagi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap bekalan beras import memandangkan kadar SSL Sabah ketika ini hanya sekitar 19 peratus.

Beliau berkata, keadaan itu bermakna daripada setiap 100 penduduk yang memerlukan beras, hanya 19 orang memperoleh bekalan yang dihasilkan di Sabah, sekali gus menunjukkan negeri masih bergantung kepada bekalan luar.

Jika kita tidak mempunyai gerak kerja yang lebih tersusun, kemungkinan kita akan berdepan kesukaran mendapatkan bekalan beras daripada negara pengeksport seperti Vietnam dan Thailand, terutama ketika dunia berdepan konflik geopolitik serta krisis tenaga.

“Sebab itu kita mahu meningkatkan SSL dengan membuka semula kawasan sawah terbiar dan menaik taraf sistem pengairan supaya pengeluaran padi negeri dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Sukan Dwi Tahunan Kelab Sukan dan Hiburan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah Ke-26 di Kompleks Sukan Keningau, Sabtu lalu.

Menurut Jamawi, Sabah mempunyai kira-kira 4,000 hektar kawasan sawah terbiar dan pembukaan semula 2,000 hektar daripadanya menjelang 2030 dijangka mampu meningkatkan SSL beras negeri kepada sekitar 30 peratus.

Katanya, sekiranya keseluruhan kawasan sawah terbiar itu dapat dibangunkan semula pada masa hadapan, kadar SSL Sabah berpotensi meningkat sehingga hampir 40 peratus.

Selain memperluaskan kawasan penanaman, beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan hasil sawah sedia ada daripada purata tiga tan sehektar kepada lima hingga enam tan sehektar dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai melalui penggunaan teknologi moden, mekanisasi pertanian, dron serta amalan pertanian yang lebih cekap dan berkesan.

“Dengan penggunaan teknologi dan mekanisasi, saya yakin hasil pengeluaran padi boleh ditingkatkan kepada lima hingga enam tan sehektar, sekali gus meningkatkan SSL negeri secara automatik,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi berkata, beliau menerima banyak aduan daripada petani di Keningau mengenai masalah kekurangan bekalan air untuk pengairan sehingga menyebabkan ada kawasan tidak dapat diusahakan selama dua hingga tiga musim penanaman.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah berjaya memulihkan sistem pengairan di Kepayan Baru yang kini sedia digunakan semula bagi musim penanaman akan datang.

Katanya, masalah di Skim Pengairan Penagatan turut berjaya diselesaikan selepas kerja pembaikan muka sauk dilaksanakan hasil kerjasama beberapa agensi berkaitan bersama Pejabat Daerah Keningau.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan antara punca utama kerosakan sistem pengairan ialah aktiviti pengorekan batu pasir oleh kuari berhampiran muka sauk yang menyebabkan paras sungai menjadi cetek dan menjejaskan sistem pengambilan air.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua agensi kerajaan dan pentadbiran daerah supaya memperketatkan penguatkuasaan serta tidak meluluskan operasi kuari berhampiran sistem pengairan sawah padi.

“Apabila sistem pengairan rosak atau terhakis, kos pembaikan menjadi lebih tinggi. Jika perkara ini terus berulang tanpa kawalan yang tegas, ia akan terus menjejaskan pengeluaran padi di kawasan ini,” katanya.

Jamawi berkata, beliau juga akan meninjau beberapa lagi kawasan yang berdepan masalah pengairan termasuk di Bingkor serta Skim Bumburing II di Apin-Apin.

Katanya, Skim Bumburing II telah menerima peruntukan tambahan dan kerja-kerja pemulihan sistem pengairan dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah atas komitmen mereka membantu petani serta menggesa warga jabatan terus turun padang bagi menyelesaikan isu yang dihadapi sektor pertanian di seluruh negeri.

Terdahulu, Jamawi merasmikan Pesta Sukan Dwi Tahunan Kelab Sukan dan Hiburan JPS Sabah Ke-26 yang berlangsung sejak 10 Julai lalu dan dijadual melabuhkan tirai hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JPS Tenom, Keningau dan Tambunan yang berganding bahu sebagai tuan rumah, selain memuji kelancaran penganjuran kejohanan yang berlangsung hampir tiga minggu itu.