KOTA KINABALU: Ratusan rakyat berhimpun dalam Himpunan Aman Justice for Sabah di Padang Merdeka pada Jumaat bagi menuntut pelaksanaan segera hak 40 peratus hasil negeri Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan.
ADUN Dilantik Datuk Roger Chin dalam ucapan beliau menegaskan bahawa isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya hak perlembagaan yang didakwa gagal disemak dan dilaksanakan secara berkesan sejak 1974 hingga 2021.
Beliau berkata kegagalan tersebut memberi kesan besar kepada pembangunan negeri termasuk infrastruktur, pendidikan dan kemudahan kesihatan.
Merujuk kepada kes mahkamah SLS, beliau berkata keputusan mahkamah telah mengesahkan berlakunya pelanggaran Perlembagaan serta menetapkan keperluan pelaksanaan dalam tempoh masa tertentu.
Namun, beliau menyatakan kekecewaan terhadap penangguhan berterusan walaupun keputusan mahkamah telah dibuat, dengan alasan keperluan masa tambahan.
“Selepas 50 tahun, penangguhan tidak lagi boleh diterima sebagai alasan. Apa yang dituntut bukan perkara baharu tetapi pelaksanaan hak sedia ada,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa apa yang dipertikaikan kini bukan formula itu sendiri, tetapi pelaksanaan tanggungjawab, akauntabiliti dan kesan daripada kelewatan panjang tersebut.






