Sabah Tubuhkan CITF Untuk Pastikan Kelancaran Pemberian Vaksin COVID-19

Sabah Tubuhkan CITF Untuk Pastikan Kelancaran Pemberian Vaksin COVID-19

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah menubuhkan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF), yang diselaraskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 negeri, bagi memastikan kelancaran pemberian vaksin COVID-19 di negeri ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata Pasukan CITF itu diwujudkan antara lain bagi memastikan seramai mungkin penduduk Sabah menerima vaksin COVID-19 dalam tempoh ditetapkan menerusi tiga fasa pelaksanaan.

“Pasukan CITF di peringkat daerah juga telah diaktifkan dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah serta Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, malam tadi.

Masidi yang dipetik Bernama berkata persediaan yang sedang dilaksanakan antaranya melibatkan pengurusan logistik, persediaan Pusat Pemberian Vaksin di setiap daerah, pengurusan tindakan perubatan, pengurusan sukarelawan dan komunikasi strategik bagi kempen menjayakan vaksinisasi COVID-19.

Datuk Masidi Manjun…

“Sebagaimana telah diumumkan, fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan yang telah dikenal pasti. Bagi fasa kedua, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan memberi vaksinasi kepada golongan sasar seperti warga emas berumur 65 tahun ke atas…

“Ini termasuk golongan berisiko tinggi yang mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU).

“Untuk fasa ketiga pula melibatkan kategori orang awam berumur 18 tahun ke atas dan tanpa komorbiditi,” katanya.

Masidi berkata kerajaan Sabah menggalakkan pendaftaran sebagai penerima vaksin COVID-19 dilakukan menerusi applikasi MySejahtera, dengan maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi itu termasuk panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas.

Beliau berkata warga emas dan tanggungan yang tidak mempunyai kemudahan telefon bimbit boleh didaftarkan sebagai tanggungan melalui ruangan disediakan di aplikasi MySejahtera.

Orang ramai yang tidak mempunyai kemudahan internet pula boleh membuat pendaftaran secara manual di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta ditetapkan, katanya.

Mengulas maklum balas penduduk terhadap program vaksinasi itu, Masidi berkata rakyat Sabah pada amnya menerima baik usaha kerajaan untuk membendung pandemik COVID-19 melalui program tersebut, dan buat masa ini, belum ada sebarang laporan berkaitan aktiviti bantahan memandangkan program itu bersifat sukarela.

“Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melibatkan pelbagai pihak merangkumi usaha advokasi, khidmat sokongan serta proses vaksinasi di seluruh negara. Advokasi dan khidmat sokongan akan membantu masyarakat mengetahui dan memahami perincian dan maklumat berkenaan program itu,” katanya.

Masidi berkata talian Khas Program Imunisasi COVID-19 akan disediakan bagi menjawab sebarang persoalan berkaitan imunisasi COVID-19.