KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X) merupakan satu daripada medium dan usaha kerajaan untuk mengenal pasti atlet-atlet berpotensi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata inisiatif ini adalah untuk membawa cabaran negeri ke kejohanan peringkat kebangsaan, khususnya di Sukan Malaysia (SUKMA).
“Justeru itu, sepanjang tujuh hari temasya ini berlangsung, para atlet telah berusaha memerah segenap kekuatan yang ada pada diri masing-masing.
“Saya juga percaya selepas ini pasti ramai yang akan dipanggil untuk diserapkan ke dalam skuad negeri untuk digilap mewakili Sabah ke temasya SUKMA di Sarawak tahun hadapan.
“Mudah-mudahan momentum dan semangat juang para atlet yang bertanding di SAGA X ini akan terus berkobar-kobar untuk dibawa ke temasya SUKMA Sarawak 2024 seandainya berjaya mewakili negeri Sabah nanti,” ucapnya pada Majlis Penutupan SAGA X di Stadium Universiti Malaysia Sabah, pada Jumaat.
Tambah Ellron, selain SUKMA, KBS juga akan terus memajukan bidang sukan di negeri ini menerusi pelaksanaan program Sukan Komuniti dan penganjuran Sukan Berprestasi Tinggi.
“Aktiviti ini akan dilaksanakan melalui Program AKTiF atau Budaya Sukan Teras Aspirasi Famili Sihat yang tujuan penganjurannya adalah supaya masyarakat dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.
“Antara aktivitinya adalah seperti larian ria (Fun Run), berbasikal ria (Fun Ride), senamrobik, sukan tradisi, ping pong dan sukan antara jabatan,” katanya lagi.
SAGA X secara rasminya menutup tirai kejohanan yang bermula dari 14 hingga 22 Disember dengan daerah Tawau terpilih sebagai tuan rumah pada tahun 2025.
Hadir sama, Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mansur Asun. — JABATAN PENERANGAN SABAH