Sambutan Luar Biasa Himpunan Wanita GRS di Silam, Azizah Yakin Mizma Mampu...

Sambutan Luar Biasa Himpunan Wanita GRS di Silam, Azizah Yakin Mizma Mampu Menang

0
SHARE

LAHAD DATU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun meluahkan rasa bangga terhadap sambutan memberangsangkan yang diterima calon wanita GRS bagi DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah dalam himpunan Wanita GRS yang berlangsung di Kampung Tanoi Batu 5, hari ini.

Azizah berkata penerimaan penduduk setempat, khususnya wanita, terhadap calon tersebut amat menggalakkan, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan kepimpinan wanita di negeri ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berbangga kerana sambutan terhadap calon wanita cukup hebat, cukup baik. Saya pun teruja sangat,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan yang diterima bukan hanya daripada golongan wanita, malah kaum lelaki juga tampil memberikan dukungan padu kepada Mizma.

“Bukan sahaja wanita, tetapi kaum lelaki juga memberikan sokongan yang padu. Saya yakin, insya-Allah, beliau akan mencapai kejayaan pada 29 haribulan nanti dan diumumkan sebagai calon pemenang bagi DUN Silam,” jelasnya.

Azizah berkata, Mizma memiliki ciri kepimpinan yang diperlukan untuk mengangkat suara wanita Sabah ke peringkat lebih tinggi.

“Insya-Allah, nanti beliau akan menjadi pemimpin buat wanita di negeri Sabah. Itu yang kita mahu. Jadi berbanggalah orang-orang Silam kerana kamu ada calon wanita berkebolehan, komited, kuat semangat, pengasih dan penyayang,” katanya.

Majlis itu menyaksikan kehadiran penyokong wanita GRS dari sekitar kawasan Silam, sekali gus menunjukkan tanda sokongan awal jentera parti menjelang hari pengundian pada 29 November ini.

Mizma, calon nombor 2, berdepan saingan 9 penjuru terdiri daripada Sharif Musa Sharif Mabul (BN), Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (BEBAS), Mohammad Enriquez (SAPP), Brahim Biesel (PIS), Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS) dan Abdul Halim Gulam Hassan (PH).