KOTA KINABALU: Kadar air tidak berhasil (NRW) Sabah direkodkan pada 59.6 peratus pada 2025, dengan kerajaan negeri menyasarkan pengurangan kepada 45 peratus menjelang 2030.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury berkata Jabatan Air Negeri Sabah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk operasi bersepadu membanteras sambungan haram, penggantian paip usang, penukaran meter rosak serta pengurusan tekanan dan pengesanan kebocoran secara proaktif.
Katanya, usaha itu diperkukuh menerusi pendekatan lebih holistik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Antara program utama ialah Program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan Fasa 2 yang dibiayai Kerajaan Persekutuan melibatkan 18 daerah serta program pengurangan NRW negeri meliputi 12 daerah.
Beliau berkata projek pemulihan, pemantauan dan kawalan kebocoran aktif turut dilaksanakan di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau bagi memastikan sasaran pengurangan dicapai.






