KOTA KINABALU, SABAH – Sabah Development Bank Berhad (SDB) mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM878 juta (kerugian bersih RM684 juta) bagi tahun kewangan (TK) 2023, mengikut keputusan auditnya.
Ia juga menjangkakan kerugian sebelum cukai yang dikurangkan dengan ketara sebanyak kira-kira RM100 juta untuk tahun 2024.
Menurut kenyataan dari SDB, kerugian ini disebabkan terutamanya oleh peruntukan untuk Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) dan pengurangan nilai aset sepanjang tahun.
“Sekiranya perakaunan betul dan peruntukan yang sesuai diikuti dari awal, Bank akan melaporkan kerugian tahunan yang ketara berturut-turut pada tahun kewangan sebelumnya. Anggaran awal mencadangkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM500 juta untuk TK 2023 dan kerugian serupa sebanyak RM500 juta untuk TK 2024.
“Walau bagaimanapun, semasa pemuktamadkan akaun teraudit, pelarasan lewat dibuat termasuk memperuntukkan semula beberapa Jangkaan Kerugian Kredit dari TK 2024 kepada TK 2023.
“Pelarasan ini menyumbang kepada kerugian yang dilaporkan lebih tinggi untuk TK 2023 dan pengurangan yang sepadan untuk TK2024.
“Kerajaan negeri Sabah kekal komited untuk memenuhi semua obligasi pembayaran balik bon, memastikan kestabilan kewangan bank,” katanya.
SDB telah melantik lembaga pengarah dan pasukan pengurusan baharu pada separuh kedua 2023 dan dengan sokongan Kementerian Kewangan Sabah, Bank itu telah menerima pembayaran balik pinjaman legasi sebanyak RM1.9 bilion daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan sekaligus mengurangkan obligasi pembayaran balik bonnya daripada RM5 bilion pada Julai 2023 kepada RM3.3 bilion menjelang Julai 2024.
“Kemajuan ketara telah dicapai dalam mengurangkan NPL kepada RM5 bilion, yang dijamin daripada tanah dan aset komersial.
“SDB kini yakin berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pemulihannya sebanyak RM1 bilion tahun ini, dengan sasaran serupa ditetapkan untuk dua tahun akan datang.
“Untuk mengukuhkan lagi asas modal SDB dan memenuhi garis panduan Nisbah Kecukupan Modal Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan Sabah telah menukar RM660 juta daripada deposit tetapnya dengan SDB kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus,” tambahnya.