KUNAK: Seorang lelaki cedera parah manakala empat lagi mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Kunak-Tawau tengah hari tadi.
Menurut laporan Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.57 pagi melalui talian MERS999 yang melaporkan insiden membabitkan sebuah lori tiga tan, Toyota Hilux dan Proton Saga.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak dengan kekuatan lapan anggota tiba di lokasi pada jam 12.16 tengah hari, kira-kira 24 kilometer dari balai.
“Seorang mangsa lori tiga tan tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas Hydraulic Rescue Tool (Holmatro) serta Spinal Board.
“Seorang lagi mangsa daripada Toyota Hilux tercampak keluar daripada kenderaan dan menerima rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tiga mangsa dalam Proton Saga mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata seorang pegawai jurucakap.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.33 petang setelah pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.