KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat Robert Richard Foo, yang pernah bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya negeri, menyifatkan serangan Parti Warisan terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, sebagai tanda panik dan kehilangan arah.
“Warisan cuba menuduh Dr Jeffrey baru menggunakan slogan Justice for Sabah menjelang pilihan raya, sedangkan semua orang tahu beliau sudah puluhan tahun konsisten memperjuangkan hak Sabah melalui MA63 dan tuntutan 40 peratus hasil negeri,” kata Foo.
Beliau berkata tindakan Warisan mengungkit isu skandal mineral serta kedudukan Jeffrey dalam kerajaan perpaduan jelas bermotifkan politik.
“Jeffrey sudah menafikan tuduhan itu dan memberi kerjasama penuh kepada SPRM. Warisan sepatutnya hormati proses undang-undang, bukan bertindak sebagai hakim sendiri,” tegasnya.
Foo menambah, rakyat tidak lupa Warisan pernah bersama Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan pusat.
“Mereka menuduh orang lain hilang prinsip, sedangkan Warisan sendiri pernah menandatangani perjanjian gabungan yang sama. Itu jelas hipokrasi,” katanya.
Menurutnya, selepas ditolak pada PRN 2020, Warisan kini hanya bergantung kepada retorik untuk kekal relevan.
“Sebaliknya, Jeffrey konsisten menegakkan prinsip ‘Sabah for Sabahans’ dan menentang campur tangan berlebihan parti Semenanjung,” ujarnya.






