TAWAU: Kegiatan penyelewengan minyak diesel di sekitar Jalan Sin San berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1.1 juta, pada Jumaat.
Operasi tersebut dijalankan hasil maklumat awam berhubung aktiviti penyeludupan sebelum pasukan risikan PPM mengekori sebuah lori 21 tan jenama Nissan yang mencurigakan sehingga membawa kepada sebuah gudang tertutup di kawasan berkenaan.
Serbuan kemudiannya dilancarkan ke atas premis terbabit, dan pemeriksaan mendapati berlakunya aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan tiga buah lori, tiga unit skid tank serta 10 tong drum yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Sebanyak 30,800 liter minyak diesel berjaya dirampas dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1,165,320.
Dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menegaskan akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan kawalan, sekali gus memastikan keselamatan serta kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.






