KOTA KINABALU: Sabah International Beauty Expo 2026 (SIBEX2026) yang dijadual berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 4 hingga 6 Disember depan menyasarkan kehadiran sehingga 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Pengarah Urusan ESM Exhibitor Relations Malaysia (Sabah), Datuk Dayang Khatijah Bachtiyal berkata, ekspo bertemakan ‘3 Days to Be Beautiful’ itu bakal menghimpunkan pelbagai jenama kecantikan, profesional industri, pemain perniagaan serta pengguna dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata, SIBEX2026 akan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk penjagaan kulit, kosmetik, penjagaan rambut, kesihatan dan kesejahteraan (wellness), salon serta spa.
“Ekspo ini menyediakan platform perniagaan kepada pengguna (B2C) dan perniagaan secara langsung (Direct B2B) bagi membolehkan jenama berinteraksi dengan pengguna, selain membuka peluang kerjasama bersama pengedar, peruncit dan pemain industri.
“Kami percaya Sabah mempunyai potensi besar sebagai pasaran kecantikan yang berkembang, sekali gus membuka peluang kepada jenama tempatan dan antarabangsa untuk meluaskan pasaran ke seluruh Borneo,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Khatijah, ekspo berkenaan turut memberi tumpuan kepada usahawan dan jenama kecantikan tempatan Sabah bagi meningkatkan pendedahan pasaran serta memperluas jaringan perniagaan.
Katanya, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai tawaran eksklusif, harga promosi, sampel dan hadiah percuma, selain demonstrasi kecantikan serta aktiviti berkaitan sepanjang penganjuran.
“Kemasukan adalah percuma bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali jenama baharu, mencuba produk serta menikmati tawaran istimewa.
“Kami mahu SIBEX menjadi platform tahunan industri kecantikan di Sabah, dengan visi jangka panjang menjadikan negeri ini sebagai pintu masuk penting kepada pasaran kecantikan Borneo,” katanya.






