KOTA KINABALU: Parti Aksi Rakyat (PAP) yang dipimpin Perdana Menteri Lawrence Wong memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya Singapura pada Sabtu , dengan meraih 65.57 peratus undi daripada lebih 2.4 juta pemilih dan memenangi hampir semua 97 kerusi.
Kemenangan itu memberikan Wong mandat yang jelas untuk mengemudi Singapura melalui cabaran ekonomi yang disebabkan oleh tarif AS yang bakal dikenakan, yang berpotensi memberi kesan besar terhadap negara yang berpaksikan perdagangan.
“Keputusan ini adalah isyarat jelas kepercayaan terhadap kerajaan dalam menghadapi ketidakpastian global dan cabaran ekonomi yang timbul akibat dasar tarif keras Presiden AS, Donald Trump,” kata Wong selepas keputusan rasmi diumumkan.
Beliau turut memberi amaran bahawa Singapura akan terkesan teruk jika tarif AS yang diumumkan oleh Trump diteruskan.
“Oleh itu, Singapura perlu kekal terbuka dan kompetitif untuk menangani kesan tersebut dan untuk memastikan negara ini terus berkembang dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Keputusan pilihan raya ini memperkukuh keyakinan terhadap PAP sebagai kerajaan yang stabil, boleh dipercayai, dan berkemampuan menangani ketidaktentuan ekonomi masa depan,” katanya memetik AFP.
Wong, yang mengambil alih jawatan pada tahun lalu selepas Lee Hsien Loong, berhadapan dengan pembangkang yang semakin aktif dan berbisa, terutamanya selepas kemajuan Parti Pekerja (WP) dalam pilihan raya 2020.
Walaupun PAP dilanda beberapa kontroversi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk pertikaian keluarga Lee dan skandal rasuah yang melibatkan bekas menteri, parti itu tetap berjaya memenangi sokongan rakyat.
Pemilih muda yang semakin terbuka kepada politik alternatif turut menunjukkan minat terhadap pembangkang, namun WP, yang menarik ramai penyokong di perhimpunan mereka, gagal mencapai kejayaan besar di peti undi.