SOKONGAN KERAJAAN PERPADUAN BANTU RANCAKKAN EKONOMI NEGERI, BUMIPUTERA SABAH: KM HAJIJI

SOKONGAN KERAJAAN PERPADUAN BANTU RANCAKKAN EKONOMI NEGERI, BUMIPUTERA SABAH: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika berucap sempena Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

PUTRAJAYA, SELANGOR – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin dengan iltizam politik yang tinggi dan sokongan padu daripada kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat, matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan merancakkan ekonomi masyarakat Bumiputera di Sabah, akan lebih mudah tercapai.

Beliau berkata, dasar Hala Tuju SMJ yang bertekad memperkasakan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan, senada dengan 3 Ikhtiar yang disyorkan bagi melonjakkan ekonomi Bumiputera, iaitu mewujudkan perbadanan tanah Bumiputera, mewujudkan wakaf pendidikan, kesihatan dan kebajikan, dan mengindustrikan pertanian.

“Begitu juga dengan Enam Tekad Transformasi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang diperkenalkan dalam kongres ini, terutama Tekad Kedua dan Ketiga iaitu Menutup Ketirisan Pelaksanaan Dasar dan Mewujudkan Kesetaraan Antara Wilayah/Kaum dan Kelompok, amat tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, Hajiji berharap apa juga resolusi yang digarap daripada kongres ini, akan turut mengambil kira kepentingan masyarakat Bumiputera di Sabah.

“Saya juga berharap, apa juga pendekatan yang diambil bagi memperkasa ekonomi Bumiputera Sabah, wajar kaedah atau pendekatan itu diinstitusikan dibawah kawal selia entiti kerajaan negeri Sabah.

“Ini bagi memberikan mandat kepada Sabah untuk mengkoordinasi dan menerajui
program pembangunan sosioekonomi secara efisien, efektif dan bersinergi,” katanya.

Beliau turut menaruh harapan yang tinggi, bahawa kepimpinan negara di bawah Kerajaan Perpaduan ini, benar-benar komited untuk terus membela nasib kaum Bumiputera seluruh negara, termasuklah di Sabah.

“Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan bilangan Bumiputera mencecah sehingga 90 peratus daripada jumlah penduduknya, kami di Sabah mempunyai aspirasi yang amat tinggi untuk bersama sama dengan seluruh rakyat Malaysia menikmati kemakmuran dan kemajuan ekonomi negara.

“Ini bukan sahaja menyokong ekonomi akar umbi Bumiputera di Sabah tetapi juga meletakkan asas kepada model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk komuniti Bumiputera.

“Dengan kata lain, pemerkasaan ekonomi khususnya bagi Bumiputera di Sabah, mestilah selari dengan pembangunan jaringan infrastruktur sebagai pembolehdaya utama,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri beriltizam untuk menutup rapat jurang kemiskinan yang telah lama menyelubungi ramai Bumiputera di Sabah, dan bertekad membawa perubahan kepada kehidupan rakyat yang dahagakan pembelaan, khususnya yang berada di pedalaman.

“Kami tidak lagi mahu ketinggalan, bahkan kami sentiasa berharap agar kek kemakmuran dapat dikongsi bersama dalam satu keluarga besar Malaysia. Jangan kita jadikan Laut China Selatan itu sebagai pemisah atau penghalang kepada kemajuan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Sehubungan itu katanya, visi kerajaan negeri adalah untuk memastikan usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera Sabah diinstitusikan dan meraih pengiktirafan identiti unik bagi Sabah dalam konteks Malaysia.

“Seperti yang kita sedia maklum, faktor geografi merupakan salah satu halangan yang berupaya melambatkan proses pembangunan dan hal ini berlaku di Sabah.

“Ia bukan saja menghambat pertumbuhan ekonomi dan melewatkan proses pembangunan, tetapi juga membatasi aktiviti perekonomian serta sosial masyarakat Bumiputera, terutama di pedalaman.

“Selain itu, mengembangkan rangkaian infrastruktur yang kukuh adalah penting untuk ekonomi Sabah, terutamanya dalam meningkatkan perhubungan antara kawasan pedalaman dan pusat bandar.

“Ini bukan sahaja menyokong ekonomi akar umbi Bumiputera di Sabah tetapi juga meletakkan asas kepada model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk komuniti bumiputera,” katanya.