SPR Disaran Pertimbang Langkah Praktikal Mudahkan Pengundi Sabah Tunaikan Tanggungjawab PRU ke-17

SPR Disaran Pertimbang Langkah Praktikal Mudahkan Pengundi Sabah Tunaikan Tanggungjawab PRU ke-17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengamal undang-undang, Nizam Salleh Said Keruak, menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan langkah-langkah praktikal bagi memudahkan rakyat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.

Menurut beliau, kira-kira 200,000 anak Sabah kini berada di Semenanjung Malaysia atas urusan pelajaran, pekerjaan dan komitmen keluarga, namun ramai antara mereka masih menghadapi kesukaran untuk menunaikan hak sebagai pengundi berdaftar.

“Mulai 1 November, SPR membuka semakan daftar pemilih terbaharu. Ini waktu yang sesuai untuk menilai bagaimana sistem pilihan raya boleh disesuaikan dengan realiti semasa rakyat Sabah yang semakin mobil, namun masih berjiwa dan berakar di negeri asal,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya di sini, hari ini.

Nizam menegaskan bahawa hak mengundi dijamin oleh Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, manakala Akta Pilihan Raya 1958 dan Peraturan Undi Pos 2003 memberikan ruang kepada SPR untuk memperluaskan kemudahan undi pos, undi awal serta menambah baik logistik tanpa perlu pindaan perlembagaan.

Beliau mencadangkan beberapa langkah praktikal yang boleh dilaksanakan oleh SPR, termasuk Pelaksanaan undi awal bagi pengundi Sabah di bandar utama Semenanjung; Pemudahan proses undi pos dengan sistem permohonan dan penjejakan status yang lebih mesra pengguna; serta Penyediaan saluran maklumat pengundian yang lebih jelas dan mudah diakses oleh rakyat Sabah di luar negeri.

“Cadangan ini bukan perubahan besar terhadap sistem pilihan raya, tetapi penyelarasan logik antara hak dan realiti. Ia mengekalkan integriti proses pengundian, namun membuka ruang kepada lebih ramai rakyat untuk bersuara,” katanya.

Beliau yakin bahawa apabila lebih ramai anak Sabah dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, keputusan pilihan raya negeri akan lebih adil, inklusif dan mencerminkan suara sebenar rakyat.

“Apabila Sabah kuat dari segi demokrasi dan pembangunan, seluruh Malaysia akan merasai manfaatnya,” tambahnya.

Nizam turut menyeru rakyat Sabah untuk menyemak daftar pemilih dan menggalakkan keluarga serta rakan-rakan agar mengambil bahagian aktif dalam proses pilihan raya.

“Bagi anak muda yang belum layak mengundi, fahamilah hak anda kerana suara anda akan membentuk masa depan Sabah,” ujarnya.

Mengakhiri kenyataan, beliau berharap SPR dapat meneliti segala cadangan ini secara profesional dan terbuka demi memastikan akses mengundi yang lebih adil dan inklusif pada masa hadapan.

“Bagi mereka yang tidak mampu pulang mengundi, saya berharap sistem baharu nanti lebih menyebelahi anda. Sabah cakap. Malaysia dengar,” katanya.