SPRM Sabah Syor Sembilan Penambahbaikan Tatakelola MUIS

SPRM Sabah Syor Sembilan Penambahbaikan Tatakelola MUIS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan sembilan syor penambahbaikan tatakelola kepada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi memperkukuhkan pengurusan agihan zakat di negeri ini.

Antara syor utama ialah penambahbaikan Perkara 5.3.1 dan 5.3.2 dalam Manual Prosedur Pengurusan Agihan Zakat (Pindaan 2023) dengan memperincikan tafsiran individu sebagai kakitangan Bahagian Zakat dan Fitrah serta organisasi merujuk kepada ejen pungutan zakat.

SPRM turut menyarankan penambahan perincian terhadap bahagian yang terlibat secara langsung dengan urusan pungutan, agihan dan kewangan zakat bagi memastikan kawal selia lebih berkesan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata cadangan itu juga mencakupi aspek penetapan had nilai perbelanjaan yang munasabah serta perlu mendapat pertimbangan Majlis Tertinggi MUIS sebelum sesuatu urusan dilaksanakan.

Menurutnya, sembilan syor tersebut merangkumi penambahbaikan prosedur, amalan dan sistem kerja yang berkaitan pengurusan agihan zakat di Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS.

Sementara itu, Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali menyatakan komitmen untuk melaksanakan syor yang dikemukakan bagi menutup ruang berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Saya amat berterima kasih kepada SPRM Sabah kerana telah membantu MUIS dalam usaha untuk menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan,” katanya selepas menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola di pejabat MUIS pada Jumaat lalu.