
KENINGAU: Sepasang suami isteri ditahan polis kerana melakukan kegiatan menjual barang tidak bercukai, iaitu senapang angin, peluru, rokok dan minuman keras dalam serbuan di Nabawan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terdiri daripada cawangan D9 JSJ IPK Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau telah mengesan aktiviti menjual kesemua barang tersebut yang disyaki tanpa cukai di sebuah rumah tidak bernombor dan sebuah kedai runcit.
“Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri mengaku terlibat dalam kegiatan menjual minuman keras serta rokok tanpa cukai sejak setahun yang lalu.
“Manakala aktiviti menjual senapang angin dan juga peluru sudah dilakukan sejak November tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.
Dalam serbuan itu, turut dirampas enam senapang angin pelbagai jenama, ratusan peluru pelbagai jenis dan beberapa peralatan senapang angin.
Turut dimaklumkan anggaran barang rampasan bernilai kira-kira RM60,000.
Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Keningau untuk siasatan lanjut. ,
Kedua-dua kesalahan kes kin disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.