Sukan Wadah Bentuk Generasi Muda Berdisiplin dan Berdaya Tahan – James

Sukan Wadah Bentuk Generasi Muda Berdisiplin dan Berdaya Tahan – James

0
SHARE

BELURAN: Aktiviti sukan di sekolah perlu terus diperkasakan sebagai wadah membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan dan memiliki keyakinan diri, bukan sekadar untuk melahirkan murid yang sihat.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kejohanan sukan sekolah merupakan antara platform penting dalam usaha membangunkan murid secara menyeluruh, seiring dengan pencapaian akademik.

Katanya, penglibatan dalam pertandingan memberi peluang kepada murid mempelajari nilai kesungguhan, kerjasama dan semangat tidak mudah berputus asa, selain menerima kemenangan serta kekalahan secara positif.

“Menang atau kalah bukan ukuran utama. Yang lebih penting ialah keberanian untuk mencuba, disiplin, kerjasama dan kesungguhan untuk terus memperbaiki diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Penutupan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tampat di sini, kelmarin.

Ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Justinus Jalang, yang hadir mewakili beliau.

James berkata, sekolah khususnya di kawasan luar bandar mempunyai potensi besar untuk menjadi medan mencungkil dan melahirkan bakat baharu dalam pelbagai bidang termasuk sukan.

Sehubungan itu, katanya, setiap murid perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyertai aktiviti sukan tanpa mengira tahap kebolehan masing-masing.

“Pendidikan yang berkualiti bukan hanya mengenai akademik, tetapi turut merangkumi sukan, kokurikulum, sains, teknologi dan kemahiran.

“Kita mahu melihat anak-anak Sabah membesar sebagai generasi yang berilmu, berkemahiran, sihat, aktif, berdisiplin dan yakin terhadap kemampuan diri,” katanya.

Dalam pada itu, James merakamkan penghargaan kepada barisan guru, pihak sekolah, ibu bapa serta semua pihak yang menjayakan kejohanan berkenaan.

Katanya, sokongan berterusan ibu bapa dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan pembangunan pendidikan serta sahsiah murid dapat dilaksanakan secara menyeluruh.