KABUL, AFGHANISTAN – Taliban membenarkan kaum wanita di negara ini untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan sebagai tanda pembaharuan positif era pemerintahan mereka berbanding zaman 90-an dahulu yang mengharamkan kaum wanita dan kanak-kanak perempuan untuk pergi ke sekolah.
Memetik laporan akhbar New York Post semalam, walaupun kaum wanita dibenarkan menyambung pengajian, mereka tidak akan ditempatkan dalam kelas yang bercampur dengan lelaki.
“Penduduk Afghanistan akan meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi mengikut syariat Islam yang selamat dan tanpa bercampur antara pelajar lelaki serta perempuan…
“Taliban juga akan mewujudkan kurikulum Islam yang bersesuaian dengan nilai-nilai Islam, nasional dan sejarah kita namun dalam masa sama dapat bersaing dengan negara-negara lain,” kata Pemangku Menteri Pendidikan Taliban, Abdul Baqqi Haqqani.
Taliban yang mengambil -alih tampuk pimpinan Afghanistan pada awal Ogos lalu telah berjanji untuk menghormati hak saksama wanita dalam sektor pendidikan dan kerjaya, namun mengikut syariat Islam.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid pada minggu lalu menggesa kaum wanita kembali ke sekolah dan bekerja seperti biasa tanpa sebarang halangan daripada pihaknya.