Tanah Runtuh, Pokok Tumbang Halang Jalan di Kg Toupos, Ranau

Tanah Runtuh, Pokok Tumbang Halang Jalan di Kg Toupos, Ranau

0
SHARE

RANAU: Kejadian tanah runtuh mengakibatkan sebatang pokok tumbang dan menghalang laluan di Taviu Sping RNR, Kampung Toupos, di sini, pada lewat malam Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.35 malam sebelum dua anggota digerakkan ke lokasi sejauh 66 kilometer.

“Pasukan tiba di lokasi pada jam 12.45 tengah malam dan mendapati benar terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya akibat kejadian tanah runtuh.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja memotong batang pokok menggunakan gergaji berantai sebelum mengalihkannya ke tempat yang sesuai.

Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 2 pagi.

“Pemeriksaan akhir turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.55 pagi.

“Tugas berkaitan kejadian tanah runtuh kemudian diserahkan kepada pihak Pan Borneo untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi turut membabitkan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima petugas Pan Borneo.