KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menyediakan bonus mula tugas RM5,000 kepada pegawai perubatan yang melapor diri untuk penempatan tetap di Sabah atau Sarawak serta bonus pengekalan RM10,000 selepas genap lima tahun berkhidmat.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata cadangan itu antara langkah yang perlu diberi perhatian kerajaan dalam Belanjawan 2027 bagi menarik dan mengekalkan tenaga perubatan, khususnya dalam menangani isu kesihatan di Sabah.
Beliau berkata kerajaan juga perlu menyediakan insentif setara kepada doktor anak Sabah yang berkhidmat di negeri itu, terutama di kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, katanya, ganjaran berkenaan perlu ditentukan berdasarkan kesukaran penempatan dan nilai perkhidmatan, bukannya negeri asal seseorang doktor.
Madius turut menggesa Bayaran Insentif Wilayah dikembalikan kepada struktur progresif berasaskan gaji dengan pegawai perubatan diberikan keutamaan sebagai langkah kecemasan sekiranya pelaksanaannya belum dapat diperluaskan kepada semua penjawat awam.
Cadangan itu antara lima komitmen yang dikemukakannya ketika membahaskan Penyata Lawatan Kerja Jawatankuasa Pilihan Kesihatan ke Sabah di Dewan Rakyat pada Isnin.
Madius berkata kerajaan perlu mengambil tindakan konkrit dan menyeluruh bagi menangani masalah kesesakan hospital dan klinik kesihatan di Sabah, termasuk memperkukuh tenaga kerja, menyediakan insentif lebih kompetitif serta meningkatkan sistem pengurusan rekod perubatan.
“Setiap syor dalam Penyata Lawatan Kerja Jawatankuasa Pilihan Kesihatan ke Sabah perlu diterjemahkan kepada tindakan, peruntukan, garis masa dan ukuran pencapaian yang jelas,” katanya.
Menurutnya, isu kesesakan bukan sekadar membabitkan jumlah pesakit menunggu, tetapi turut merangkumi kekurangan petugas, ruang rawatan terhad, kelewatan rujukan serta kelemahan dalam pengurusan rekod pesakit.
“Apabila Klinik Kesihatan tidak mempunyai ruang dan petugas yang mencukupi, tekanan dipindahkan ke hospital. Di Tuaran, tekanan itu akhirnya sampai ke hospital-hospital rujukan di Kota Kinabalu,” katanya.
Madius turut berkongsi pengalaman bapanya mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di Penampang apabila kira-kira 200 pesakit warga emas dilaporkan sedang menunggu, manakala hanya dua doktor dilihat merawat pesakit dalam sebuah bilik kecil.
Katanya, rekod perubatan bapanya kemudiannya tidak dapat dikesan selepas sampel darah diambil dan perkara itu sudah dirujuk kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah untuk siasatan, namun rekod berkenaan masih belum ditemui.
“Apabila rekod pesakit tidak dapat dikesan, yang hilang bukan sekadar satu fail. Yang terputus ialah sejarah penyakit, ubat-ubatan, keputusan pemeriksaan dan kesinambungan rawatan,” katanya sambil menegaskan beliau tidak menyalahkan doktor atau petugas kesihatan yang turut berdepan kekangan ruang dan sumber.
Selain insentif tenaga perubatan, Madius mencadangkan Pelan Khas Mengurangkan Kesesakan Hospital dan Klinik Kesihatan Sabah, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, kuota kemasukan munasabah kepada anak Sabah dan Sarawak untuk mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), serta pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik bersepadu dan selamat antara klinik dengan hospital.
Beliau turut mencadangkan sebahagian penjimatan daripada rasionalisasi subsidi atau insentif gula disalurkan kepada insentif tenaga kesihatan.
“Tuaran tidak meminta layanan istimewa. Tuaran menuntut layanan yang adil berdasarkan realiti Sabah.
“Jangan tambah bangunan tanpa petugas. Jangan tempatkan doktor tanpa sebab untuk mereka datang dan kekal. Jangan bentangkan Penyata tanpa memastikan pelaksanaannya,” katanya.
Madius meminta Menteri berkaitan menjelaskan sama ada lima komitmen yang dikemukakannya itu akan dimasukkan dalam Belanjawan 2027.






