Tawau Kini Bersedia – Diyanah

Tawau Kini Bersedia – Diyanah

0
SHARE
Diyanah
Diyanah bercakap kepada media selepas raptai penuh Majlis Santapan Malam Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Tawau ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

TAWAU, SABAH – Daerah Tawau yang dijadikan lokasi pelancaran Program Kembara Kenali Borneo hari ini kini sudah bersedia.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Diyanah Abdullah menzahirkan keyakinan tersebut setelah memantau persiapan serta raptai bagi tiga acara yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Setakat ini sudah hampir 100 peratus daripada ketibaan dan santapan serta ‘flag off’ semua telah diraptaikan dan berjalan lancar atas kerjasama oleh semua agensi yang terlibat secara langsung.

“Untuk majlis santapan malam nanti akan diadakan pameran makanan tradisi etnik masyarakat di Tawau dan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk diperkenalkan kepada Tuanku serta rombongan,” katanya ketika ditemui media di sini, pada Sabtu malam.

Oleh itu, Diyanah menjemput warga Tawau untuk hadir dan memeriahkan program berkenaan khususnya Majlis Pelancaran Program Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Tawau serta Majlis Flag Off Kembara Kenali Borneo di 0KM di 0.0KM Point Tawau (Padang Bandaran Tawau).

“Kita menjemput warga Tawau untuk hadir beramai-ramai ke majlis santapan malam dan ke majlis ‘flag off’ yang akan diadakan pada 4 September (esok) tanda bermulanya Kembara Kenali Borneo.

“Kita berharap sambutan ini meriah agar menjadi kenangan terindah kepada Tuanku berdua serta rombongan Istana Negara dengan sorakan, Daulat Tuanku!” ujar beliau.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Pang Pick Lim @ Joseph mendedahkan 0.0KM Point Tawau dipilih sebagai lokasi flag off kerana ia titik permulaan ukuran jarak kilometer dari Tawau ke Kota Kinabalu.

“Ia adalah lokasi pejabat pos lama yang mana sejak dahulu semua daerah di mana ada pejabat pos, mereka akan menggunakan pejabat pos untuk mengukur jarak dari pejabat pos itu untuk menghantar surat,” jelasnya.

Program Kembara Kenali Borneo yang berlangsung mulai 3 hingga 13 September itu merupakan pengembaraan jalan darat Lebuhraya Pan Borneo oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak merangkumi Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam dengan jarak  2,154 kilometer. — JABATAN PENERANGAN SABAH