TH Sumbang RM500,000 Kepada UMS

TH Sumbang RM500,000 Kepada UMS

0
SHARE
Naim
Mohd Na'im sekitar sesi penyampaian cek replika sumbangan dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Program Iqra IPTA 2023 ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Program Iqra IPTA 2023 bagi membantu meringankan beban kewangan dan memudahkan urusan mahasiswa berstatus B40 atau asnaf.

Sumbangan terbabit akan dimanfaatkan oleh sebahagian daripada 14,000 mahasiswa
UMS yang berada dalam golongan B40 terutamanya keluarga asnaf yang kurang
berkemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beberapa universiti tempatan telah mengenal pasti ramai mahasiswa mereka yang berasal daripada keluarga B40.

“Para pelajar ini terpaksa menahan perut berlapar kerana tidak mempunyai wang
belanja yang cukup dan menghadapi masalah untuk membayar yuran kursus dan
asrama masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Program Iqra IPTA 2023 di Pusat Islam UMS, di sini, semalam.

Menurutnya, melihat kepada permasalahan terbabit, TH telah mengambil inisiatif membantu mahasiswa dari golongan B40 melalui Program Iqra IPTA dengan kolaborasi
beberapa buah insititusi pengajian tinggi tempatan.

“Alhamdulillah, saya memuji usaha TH yang sentiasa komited dalam menyokong
pelbagai inisiatif ke arah melestarikan pembangunan dan kemajuan diri,
masyarakat dan negara khususnya komuniti Islam melalui pembayaran zakat dan
program CSR Zakat TH,” katanya.

Program Iqra’ IPTA 2023 ini melibatkan peruntukan berjumlah RM8.5 juta disumbangkan kepada 20 IPTA terpilih seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 mahasiswa dalam kalangan asnaf dan B40.

Tambahan itu, Mohd Na’im juga berkata sumbangan ini diharapkan dapat
menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa terpilih untuk menamatkan
pengajian mereka dengan cemerlang, seterusnya meningkatkan taraf sosio-
ekonomi diri dan keluarga pada masa hadapan.

Program Iqra’ TH yang telah dilancarkan sejak tahun 2019 merupakan salah satu
program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah membantu 100,000
pelajar IPTA asnaf dan yang memerlukannya dengan bantuan berjumlah lebih
RM34 juta.

Program Iqra’ TH pada mulanya tertumpu kepada pelajar sekolah rendah namun
TH telah meluaskan bantuan sasaran kepada pelajar asnaf dan B40 yang mengikuti pengajian di peringkat menara gading.