
TAWAU, SABAH – Semua pegawai kanan dan anggota polis harus meningkatkan dan menerapkan nilai integriti dengan tidak sesekali berkompromi dalam hal salah laku warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, integriti kekal menjadi keutamaan dan ia perlu menjadi budaya seluruh warga pasukan selain dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.
Katanya, masyarakat pada masa kini meletakkan satu standard yang tinggi dengan menuntut perkhidmatan kepolisan yang berkualiti daripada polis dalam menjaga keamanan dan ketenteraman dalam negara.
“Fokus utama Ketua Polis Negara dalam menjalankan tugas, iaitu perkhidmatan PDRM bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada 308 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Pasukan Gerakan AM (PGA) Tawau dan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau di Royale Borneo Hotal, Tawau pada Rabu lalu (14 Feb).
Jauteh dalam ucapannya turut menggesa semua warga PDRM Kontinjen Sabah harus memastikan hala tuju sentiasa dalam landasan yang tepat.
Tegasnya, Ketua Polis Daerah (KPD) serta Pegawai Pemerintah harus melaporkan kepada Pesuruhjaya Polis Sabah dengan segera sekiranya berlaku masalah disiplin atau salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota jagaan masing-masing.