TIADA KOMPROMI KE ATAS 40 PERATUS: KM HAJIJI

TIADA KOMPROMI KE ATAS 40 PERATUS: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah dengan tegas mengesahkan bahawa kerajaan negeri Sabah tidak akan melepaskan hak-hak perlembagaan asas negeri Sabah berkaitan dengan pemberian khas 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata perkara ini diperkukuhkan dalam ucapan Belanjawan 2023 di mana Perdana Menteri telah mengesahkan bahawa kerajaan Persekutuan komited untuk meningkatkan kadar pemberian khas berbanding dengan apa yang telah dipersetujui sebelum ini.

Katanya lagi, rundingan untuk mencari jalan penyelesaian juga akan dipercepatlan.

“Isu kritikal ini masih dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan
Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Kerajaan negeri Sabah akan terus mempertahankan hak-hak perlembagaan negeri Sabah berkaitan dengan formula perkongsian hasil yang termaktub di bawah
Perlembagaan Persekutuan dan perkara ini harus dihormati oleh kerajaan Persekutuan.

“Ini juga termasuk tuntutan negeri Sabah untuk “lost years” di mana tiada kajian semula dibuat dari tahun 1974 hingga kini.

“Setakat ini, terdapat penyelesaian interim (tanpa prejudis) di mana Negeri Sabah menerima amaun pemberian khas yang lebih banyak daripada sebelum ini sementara menunggu rundingan lanjut antara keduandua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya lagi, sementara menunggu rundingan yang sedang dijalankan, jumlah penyelesaian interim untuk pemberian khas telah meningkat daripada RM125.6 juta pada tahun 2022 dan daripada RM260 juta yang
diumumkan pada Januari kepada RM300 juta pada Julai 2023.

“Walaupun penyelesaian interim terhadap pemberian khas ini adalah kurang daripada apa yang dijangkakan, kerajaan negeri Sabah akan terus komited dan konsisten dalam menuntut untuk mendapatkan nilai lebih tinggi daripada kerajaan Persekutuan berbanding sebelum ini.

“Dalam masa yang sama, saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan negeri Sabah
menghormati hak Sabah Law Society untuk memulakan prosiding mahkamah mengenai
perkara ini.

“Kerajaan negeri Sabah mengakui peranan penting litigasi kepentingan awam dalam memartabatkan kedaulatan undang-undang ke arah pentadbiran yang adil dan saksama.

“Kerajaan negeri melihat inisiatif oleh SLS daripada sudut positif yang tidak berpihak dan tidak berpolitik dalam kepentingan bersama aturan perlembagaan ketika Sabah terlibat dalam pembentukan Malaysia pada 1963,” katanya.

Disamping itu, Hajiji turut menjelaskan pihaknya tidak mahu membuat kesimpulan awal mengenai keputusan Mahkamah Rayuan itu.

“Tetapi saya berkongsi sentimen rakyat Sabah dan berharap sebarang keputusan akan memihak kepada negeri Sabah.

“Saya telah mengarahkan Peguam Besar Negeri Sabah untuk meneliti dan menyemak prosiding undang-undang yang sedang berjalan dan jika perlu, untuk membetulkan sebarang kenyataan yang salah dan berbeza daripada kedudukan jelas dan rasmi kerajaan negeri Sabah.

“Walaupun prosiding sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan, kerajaan negeri Sabah tetap dengan pendirian untuk mengekalkan tuntutan kerajaan negeri Sabah bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan secara perundangan dan berperlembagaan untuk melaksanakan hak-hak Sabah.

“Hak negeri Sabah ini telah dirundingkan sebelum pembentukan Malaysia dan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, pendirian ini adalah hak kewangan negeri Sabah dan bukan sekadar aspirasi.

“Sekiranya tiada persetujuan atau penyelesaian antara kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Persekutuan mengenai nilai pemberian khas, kerajaan negeri Sabah akan melantik penaksir bebas bagi menentukan isu ini.

“Ini termasuk memutuskan apa yang kerajaan Persekutuan wajib bayar kepada Sabah selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan negeri Sabah tidak akan
berhenti dalam usaha untuk mendapatkan semua hak negeri Sabah yang termaktub di
bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.