PUTRAJAYA – Kakitangan awam dan pesara yang tidak lengkap dos vaksin COVID-19 tetap termasuk dalam golongan penerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, susulan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) supaya membatalkan Perkara 6 (VI) dalam pekeliling Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 bertarikh 8 April 2022.
Bagaimanapun, ujarnya, perkara-perkara lain dalam pekeliling tersebut masih terpakai.
“Pengumuman awal oleh saya sebelum ini tidak pernah menyatakan sebarang pengecualian bayaran kepada mana-mana penjawat awam mengikut status vaksinasi…
“Ini bagi memastikan bahawa tidak ada penjawat awam atau pesara yang layak menerima bantuan ini daripada tercicir,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 telah diumumkan Ismail Sabri pada 5 April lalu.
Pada masa sama, beliau berkata, biarpun tidak diwajibkan, kerajaan menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk melengkapkan dos suntikan imunisasi Covid-19 demi kesejahteraan bersama.