Tiga Remaja Tawau Ditahan Disyaki Rogol Kanak-Kanak Perempuan 12 Tahun

Tiga Remaja Tawau Ditahan Disyaki Rogol Kanak-Kanak Perempuan 12 Tahun

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

TAWAU, SABAH – Polis menahan tiga remaja lelaki di sekitar daerah ini kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh berkata, suspek berusia antara 12 dan 17 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.40 petang Jumaat (27 Sept).

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian rogol berlaku kira-kira jam sembilan malam di kawasan taman berhampiran sebuah kampung di sini.

“Suspek terbabit adalah kenalan mangsa dari kampung sama. Ketiga-tiga mereka tidak bersekolah,” katanya.

Tambahnya, dua daripada tiga suspek merupakan pemegang sijil kelahiran, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Champin berkata, polis telah mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Tawau terhadap kesemua suspek sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan, Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.