TLDM Sabah Terima Helikopter Maritim Ketiga, ‘Callsign’ Dalam Bahasa Dusun

TLDM Sabah Terima Helikopter Maritim Ketiga, ‘Callsign’ Dalam Bahasa Dusun

0
SHARE
Reza memeriksa persiapan senjata pada Agusta Westland 139 ketiga TLDM...

KOTA KINABALU, SABAH – Helikopter Operasi Maritim (HOM) Agusta Westland 139 yang ketiga telah diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Sabtu (26 Nov) di Stesen Udara Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis penyerahan tengah hari itu telah menyaksikan Sijil Serah Terima ditandatangani oleh Pengarah Urusan Syarikat Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd iaitu Dato’ Shamsul Kamar Samsudin bersama Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Penyerahan ini telah melengkapkan kontrak perolehan tiga buah helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan GAM pada 11 September 2020.

Perolehan aset udara ini adalah bagi memenuhi keperluan semasa operasi udara TLDM selari dengan misi memperkasa pengawasan maritim Sabah dan Sarawak.

Menurut Reza, kehadiran aset terbaharu ini pastinya meningkatkan keupayaan pengawasan maritim negara…

Terdahulu, kedua buah HOM AW139 telah diterima pada April 2022 dan dioperasikan secara rasmi oleh Skuadron 503 mulai 1 Julai yang lalu manakala HOM AW139 ketiga selamat tiba di Kota Kinabalu pada 29 Oktober 2022 sebelum diserahkan secara rasmi hari ini.

“HOM AW139 ketiga ini bakal menjalani proses ujian dan percubaan penerbangan yang komprehensif sebelum diberi tugasan rondaan, pemantauan dan pengawasan zon maritim negara. 

“Selain itu, HOM juga akan dapat meningkatkan kemampuan TLDM dalam membantu agensi-agensi lain menguatkuasakan undang-undang maritim negara untuk mencegah jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pencerobohan bot nelayan asing. 

“Aset udara ini turut menjadi elemen sokongan dalam memperkasa keupayaan pasukan elit TLDM iaitu Pasukan Khas Laut (PASKAL)…

“Bagi mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian etnik dan semangat kepahlawanan di Negeri di Bawah Bayu ini, ketiga-tiga HOM AW139 telah didaftarkn dengan menggunakan callsign atau nama panggilan ‘TANOM’ yang sinonim dengan pahlawan Murut iaitu Antanom. 

“Malah, Skuadron 503 yang mengoperasikan HOM AW139 turut menggunakan cogan kata ‘Monoluku Momurias’ yang membawa maksud ‘Menjejak Menggempur’ dalam Bahasa Dusun,” jelasnya…

Tambahnya, memandangkan kebanyakan aset TLDM masih dihimpit isu keusangan dengan kebanyakan kapal yang sudah berusia melebihi 30 tahun, perolehan HOM AW139 ini dianggap sebagai langkah positif Kerajaan Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi semasa TLDM.

Beliau terus menyeru agar segala keperluan pertahanan maritim negara diberi keutamaan oleh pihak Kerajaan Malaysia yang baharu demi menjamin kedaulatan dan keselamatan negara.