
KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pemandu Toyota Vios yang melawan arus selepas membuat pusingan-u haram di pembahagi jalan berhampiran UTC di Jalan Tunku Abdul Rahman awal hari ini mengakibatkan sebuah Nissan Vanette terbakar dalam kemalangan susulan.
Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, empat sekeluarga dalam van, seorang lelaki dan seorang wanita berusia 30-an serta dua kanak-kanak, bersama pemandu Vios berusia 26 tahun, hanya mengalami kecederaan ringan.
Pihak polis tidak mengesyaki pemandu nekad itu memandu dalam keadaan mabuk, bagaimanapun, sampel darah telah diambil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan lanjut ditempat kejadian mendapati kemalangan disyaki berpunca daripada tindakan pemandu Toyota Vios yang telah membuat pusingan-u di atas pembahagi jalan dan bergerak secara melawan arus lalulintas trafik.
“Kenderaan turut ditahan untuk pemeriksaan Puspakom serta pemandu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk diambil darah bagi tujuan analisis di Jabatan Kimia,” kata Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Denal, dalam sebuah laporan yang diterima semalam.
Tambahnya, keadaan cuaca ketika kejadian dalam adalah baik, keadaan jalan lurus dan berlampu jalan.