Trump Kata Israel, Hamas Capai Fasa Pertama Perjanjian Damai Gaza

Trump Kata Israel, Hamas Capai Fasa Pertama Perjanjian Damai Gaza

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan damai Gaza yang dirancang olehnya.

Dalam hantaran di media sosial, Trump berkata “semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi” dan “Israel akan menarik balik tenteranya ke garisan yang dipersetujui.”

Hamas turut mengesahkan perjanjian itu namun masih menunggu senarai akhir banduan yang akan dibebaskan oleh Israel sebagai pertukaran, menurut sumber Palestin kepada sumber BBC.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan perjanjian itu sebagai “hari yang besar bagi Israel” dan dijangka memanggil mesyuarat kabinet pada Khamis bagi meluluskannya.

Gencatan senjata akan berkuat kuasa sebaik sahaja kerajaan Israel memberikan kelulusan rasmi sekitar jam 2 petang waktu Jerusalem (7 malam waktu Malaysia), kata seorang pegawai Palestin kanan.

Perjanjian yang dicapai di Mesir itu menandakan kemajuan penting selepas dua tahun konflik berdarah yang bermula pada 7 Oktober 2023 apabila serangan Hamas mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menculik 251 lagi.

Sejak itu, operasi ketenteraan Israel di Gaza dilaporkan telah meragut sekurang-kurangnya 67,183 nyawa, termasuk 20,179 kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas.