
JAKARTA, INDONESIA – Gelagat penduduk di sebuah kampung di Jawa Tengah, Indonesia berduyun-duyun mengutip wang kertas yang dikatakan ‘jatuh dari langit’ telah tular di media sosial.
Difahamkan situasi tersebut sempat dirakam oleh orang awam dan telah dimuatnaik ke akaun Instagram @ndorobei.official.
Video tersebut memaparkan, beberapa penduduk kampung sedang berebut untuk mengutip wang di kawasan tanah lapang yang telah ditabur oleh seorang ahli perniagaan.
Situasi tersebut juga menyebabkan beberapa penduduk yang turut serta untuk mengutip wang tersebut terjatuh.
Difahamkan, wang kertas yang ditabur bernilai 50,000 rupiah (RM14.50) dan 100,000 rupiah (RM29).
Rakaman video tersebut juga mendapat pelbagai reaksi netizen.
“Adakah dia berasa gembira melihat orang ramai berebut-rebut begitu? Kasihan dengan penduduk kampung. Wang tidak dapat membeli etika,” kata seorang netizen.
“Niatnya baik cuma caranya tidak sesuai. Lebih baik kalau dimasukkan wang kertas ke dalam sampul dan diagihkan satu persatu atau diberikan dari satu pintu ke pintu rumah,” kata seorang lagi.