Tumpuan Utama Buru Pingat Emas Negara Dalam Acara Keirin Di Olimpik Tokyo...

Tumpuan Utama Buru Pingat Emas Negara Dalam Acara Keirin Di Olimpik Tokyo 2020 – John Beasley

0
SHARE
Datuk Mohd Azizulhasni Awang & Muhammad Shah Firdaus Sahrom...

TOKYO, JEPUN – Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley tetap berbangga dengan anak didiknya Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas kedua-duanya terlepas peluang untuk ke suku akhir acara pecut individu lelaki Sukan Olimpik Tokyo kelmarin petang.

Beasley menegaskan, tumpuan utama memburu pingat emas pertama buat Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo adalah dalam acara keirin yang dijadualkan bermula pada esok (Sabtu) di Velodrom Izu Tokyo.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya begitu berbangga dengan anak buah saya, tidak kira apapun keputusan hari ini, keirin adalah acara yang kami ke Tokyo untuk memenanginya…

“Pecut sentiasa menjadi acara untuk mencari pelarasan terbaik sebelum keirin. Kita mempunyai pelumba pecut terkecil di dunia dan sukar mencabar mereka yang lebih besar apabila peraturan ketika ini, lebih memihak kepada atlet yang mempunyai saiz fizikal lebih besar.

“Ini kerana beberapa peraturan acara pecut berubah di sepanjang beberapa tahun ini, ia membenarkan atlet lebih besar dan berat memiliki banyak kelebihan kerana gear perlumbaan turut menjadi besar. Ini satu kelebihan buat atlet lebih besar yang pada ketika ini berat badan sekitar lebih 100 kilogram.

“Ini juga kerana acara pecut semuanya berkisarkan mengenai pecutan, menjadi lebih besar dan berat membantu mereka dalam acara ini apabila gear juga menjadi besar.

“Acara keirin pula berbeza. Acara ini tidak terlalu bergantung ketika kamu melakukan pecutan sendiri, ia lebih kepada kelajuan dan kekuatan serta percaturan taktikal. Di sinilah kekuatan dimiliki Malaysia…

“Fasa pecutan kurang di sini kerana kami melakukan perjalanan perlumbaan dari kelajuan 70 ke 80kph, jadi ia mengambil kelebihan yang dimiliki pelumba lebih berat. Kami berada di sini untuk memenangi keirin dan kami berada di landasan tepat,” kata Beasley dalam satu hantarannya di laman media sosial Facebook miliknya.

Jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley bersama Datuk Azizulhasni Awang…

Sementara itu, Azizulhasni, 33, dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ menjelaskan kegagalannya bersama seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut kelmarin, boleh memberikan kelebihan kepada mereka untuk menghadapi acara kegemarannya (keirin) itu.

“Perancangannya kalau tak dapat mengalahkan Jeffrey Hoogland dan untuk repechages kita tidak akan teruskan untuk menang kerana nak simpan tenaga bagi acara keirin…

“Kalau kita menang repechages, kita ke suku akhir dan kita akan jumpa orang sama semula. Kita akan lumba dua kali, kalau kalah kita akan masuk pusingan lima hingga enam, jadi banyak lagi perlumbaan untuk esok dan kita tak boleh rehat.

“Kalau ikutkan memang saya boleh potong (Jason Kenny), dia pun kelihatan penat semalam. Tapi kita cuba untuk tidak memotong kerana tidak mahu ke peringkat seterusnya dan kalau kita lihat Kenny pun lepas perlumbaan tadi kepenatan, muntah dan sebagainya.

Azizulhasni (belakang) mengejar pelumba Britain Jason Kenny (L) pada aksi repechages pusingan ketiga acara pecut di Tokyo 2020, semalam…(Sumber Foto: AFP)

“Acara pecut ini bukan peluang cerah untuk kita menang pingat, tapi kita sudah maklumkan dahulu bahawa kita akan cuba buat yang terbaik dan kalau boleh ke peringkat tertinggi, itu adalah bonus.

“Tapi kita datang ke sini sudah pasti untuk acara keirin dan perlumbaan yang berbeza berbanding acara pecut,” katanya menerusi temubual dengan stesen televisyen Astro Arena.