KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in, pada Isnin.
Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang tiba pada jam tiga petang, diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag di Dewan Seri Kinabalu.
Majlis tersebut juga dihadiri Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan isteri, Datin Linda Ewit dan Datuk Shahelmey Yahya, Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin, Pembantu-pembantu Menteri dan isteri masing-masing, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan isteri, Datin Seri Dr Nuinda Alias, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Turut meraikan sambutan ulang tahun Al-Sultan Abdullah di Istana Seri Kinabalu ialah Konsulat Jeneral Republik Indonesia Kota Kinabalu, Bapak Rafail Walangitan dan isteri, Ibu Oryza Sativa, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam, Awang Hipni Matarsad, Kaunselor Jepun di Kota Kinabalu, Shiho Kako, Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, Huang Shifang. — JABATAN PENERANGAN SABAH





