Tun Juhar Santuni Warga PDK Harapan Kasih

Tun Juhar Santuni Warga PDK Harapan Kasih

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama warga PDK Harapan Kasih Lahad Datu ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

LAHAD DATU, SABAH – Bersempena lawatan rasmi ke Daerah Lahad Datu, Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin menyantuni warga Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Harapan Kasih Lahad Datu.

Beliau yang ditemani isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dan makanan daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah kepada 20 penghuni yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam lawatan amal tersebut, Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah yang diiringi Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul dan Pengerusi PDK Harapan Kasih, Fatma Thonge juga sempat bertanya khabar dua warga emas di rumah kebajikan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Al Hambra Tun Juhar yang ditemui media berkata,
sumbangan YNJ diharap dapat meringankan beban kewangan di samping menceriakan para penghuni.

“Hari ini, kita mengadakan lawatan ke PDK di Rumah Sinar Pelangi sambil menyantuni golongan OKU dengan memberi sedikit sumbangan kepada mereka.

“Sumbangan berupa wang tunai ini diharap mampu meringankan beban yang mereka tanggung seterusnya dapat membeli sesuatu yang mereka inginkan,” ujarnya.

Al Hambra yang juga Pengerusi YNJ memaklumkan yayasan berkenaan akan terus menggerakkan program kebajikan serta sumbangan kepada golongan asnaf pada bulan Ramadan. — JABATAN PENERANGAN SABAH