Turkiye Akhirnya Sokong Ukraine Setelah Bersifat Berkecuali

Turkiye Akhirnya Sokong Ukraine Setelah Bersifat Berkecuali

0
SHARE
Recep Tayyip Erdogan (kanan) bertemu dengan Volodymyr Zelensky di Lviv, Ukraine...

ANKARA – Negara Turkiye akhirnya membuat keputusan untuk menyokong Ukraine walaupun bersifat berkecuali dalam operasi ketenteraan khas Russia di Ukraine sejak Februari lalu.

Dalam pada itu, tindakan Turkiye menimbulkan tanda tanya selepas menjalinkan semula hubungan diplomatik dengan Israel, Rabu lalu apabila bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan perdagangan.

Pendekatan yang diambil oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan itu kelihatan seperti ‘amat terdesak’ memandangkan Ankara ketika ini berdepan dengan krisis ekonomi yang semakin meruncing.

Beliau menyatakan sokongan terhadap Ukraine dan memberi amaran tentang bahaya bencana nuklear sama seperti Chernobyl boleh berulang sekiranya tiada langkah segera diambil untuk menghentikan konflik.

Erdogan bertemu rakan sejawatannya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky di Lviv, dua minggu lalu.

Lawatan itu diadakan selepas beliau melawat Sochi bagi mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan kedua-dua pihak berjanji untuk meningkatkan kerjasama ekonomi.

Erdogan memberitahu wartawan, Ankara yang merupakan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kekal teguh memihak Kyiv berhubung konflik ini serta meneruskan usaha diplomatik bagi menamatkan pertempuran.

“Sementara meneruskan usaha mencari penyelesaian, kami tetap berpihak kepada rakan Ukraine kami,” jelasnya.

Rundingan dengan Zelensky dan Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres itu berlaku ketika pertempuran semakin meningkat di sekitar loji jana kuasa nuklear Zaporizhzhia di Ukraine.

“Kami bimbang dan tidak mahu satu lagi bencana seperti Chernobyl berulang,” kata pemimpin Turkiye itu.

Semasa sidang akhbar, Erdogan hanya menyebut nama Putin sekali sahaja kepada petugas media.

“Kami bincangkan mengenai pertukaran tawanan perang dan inisiatif dalam krisis ini dan Turkiye akan terus berunding dengan Putin berhubung semua hal berkenaan,” ujarnya.