TAWAU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berharap lebih ramai umat Islam, khususnya di Sabah, berusaha belajar membaca dan mentadabbur ayat-ayat suci al-Quran.
Beliau berkata tadabbur dalam erti kata ialah usaha memahami setiap ayat-ayat al-Quran yang dibaca atau didengar, disertai kekhusyukan hati dan anggota badan seterusnya dibuktikan dengan cara mengamalkannya atau mempraktikkannya.
“Umat Islam harus peka terhadap tuntutan ini, yakni berusaha mengingat bahawa kefahaman yang tepat dan mendalam terhadap isi kandungan Al-Quran akan menjadikan seseorang hamba itu bertambah teguh keimanannya kepada Allah SWT…
“Bahkan ianya berupaya memudahkan usaha mencapai kejayaan serta kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Qurah Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022M di Dewan Masyarakat Tawau, malam semalam.
Tambahnya, nasihat itu sejajar dengan keistimewaan al-Quran yang mengandungi kalam Allah yang memaparkan segala aspek kehidupan, baik daripada sudut akidah, ibadah, muamalat, akhlak, kisah umat terdahulu, ilmu sains dan teknologi dan lain-lain lagi.
“Negara kita memerlukan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai ubudiah dan keusahawanan…
“Dalam kerangka ini, saya amat mengalu-alukan usaha pihak Kerajaan mewujudkan sekolah bersepadu yang menyatukan pendidikan agama dan akademik secara seimbang.
“Demikian juga penekanan yang diberikan kepada subjek sains dan teknologi, kejuruteraan dan matematik di samping pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.
“Ini penting kerana ketaatan kepada ajaran agama dan penguasaan terhadap kedua-dua perkara ini menjadi tunjang utama bagi mengupaya generasi hari ini memain peranan yang proaktif, kreatif, inovatif dan berdaya saing sekaligus dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi global pada masa hadapan,” katanya.





