KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memaklumkan bahawa tarikh baharu bagi Majlis Konvokesyen UMS ke-27 akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Korporat UMS, penangguhan tersebut dibuat susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadualkan pada 29 November 2025, tarikh asal majlis konvokesyen berkenaan.
UMS menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi menghormati dan memberi ruang kepada seluruh warga universiti, graduan serta masyarakat untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.
Pihak universiti kini sedang meneliti dan menyelaras tarikh baharu yang sesuai bagi pelaksanaan majlis tersebut, dan maklumat lanjut akan diumumkan melalui laman sesawang serta platform media sosial rasmi UMS.
Dalam kenyataan itu juga, UMS menzahirkan penghargaan atas kesabaran semua pihak dan memberi jaminan bahawa majlis konvokesyen akan tetap dilaksanakan dalam suasana terbaik serta harmoni demi meraikan para graduan bersama ahli keluarga.






