Undi18 Lonjak 10 Ribu Pengundi Baharu, Norazlinah Ajak Anak Muda Pertahankan Kunak

Undi18 Lonjak 10 Ribu Pengundi Baharu, Norazlinah Ajak Anak Muda Pertahankan Kunak

0
SHARE

KUNAK: Penyandang Ahli Dewan Undangan Kunak, Datuk Norazlinah Arif, menyeru anak-anak muda di daerah itu agar menggunakan peluang dan suara mereka sebagai pengundi baharu untuk mempertahankan kepimpinan Kunak dalam Pilihan Raya Sabah ke-17 (PRU17) akan datang.

Beliau berkata, pelaksanaan Undi18 telah melonjakkan jumlah pengundi di Kunak daripada kira-kira 14,000 kepada 24,000 orang, dan peningkatan lebih 10,000 pengundi muda itu menjadikan mereka kelompok penentu dalam menentukan masa depan daerah serta kerajaan negeri.

“Adik-adik saya kena faham satu perkara, peluang kalian untuk menjadi penentu kepada kerajaan sedia ada perlu digunakan dengan sebaik mungkin pada PRU17 ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Menurut Norazlinah, Kunak kini sedang berubah dan bukan lagi daerah yang tertinggal seperti dahulu.

Beliau berkata, hasil perjuangan berterusan dan kesungguhan membawa suara rakyat Kunak ke peringkat negeri, pelbagai isu pembangunan kini mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

“Kunak ni tanah kita bah, nenek moyang kita sudah bagi untuk kita jaga kawasan kita. Kalau kita memberikan kepada orang lain tanah kita, apa akan jadi kepada generasi seterusnya?” ujarnya sambil menzahirkan kebimbangan terhadap risiko tersalah memilih pemimpin yang tidak memahami denyut nadi rakyat tempatan.

Dalam masa yang sama, Norazlinah menegaskan bahawa beliau bukan sekadar seorang wakil rakyat, tetapi juga sebagai kakak dan umi kepada generasi muda Kunak yang bakal mewarisi tanggungjawab kepimpinan.

“Saya berada di sini sebagai wakil sementara, untuk menyerahkan baton kepimpinan kepada kalian.

“Gunakan suara kalian dengan bijak, bersatu hati mempertahankan Kunak dan negeri Sabah agar terus dipimpin oleh mereka yang benar-benar menyayangi rakyat,” tegasnya.