KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Peter Mojuntin menegaskan bahawa hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah bukan isu budi bicara atau ihsan, sebaliknya merupakan hak yang dijamin di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini berhubung pemberian khas Persekutuan kepada Sabah.
Menurutnya, UPKO menghargai segala bentuk peruntukan dan bantuan pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu, namun menegaskan ia tidak boleh disamakan dengan tuntutan hak 40 peratus tersebut.
“Isu 40 peratus ini bukan soal budi bicara atau ihsan. Ia adalah hak perlembagaan Sabah yang termaktub sejak penubuhan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Datuk Donald menambah, apa yang dimahukan rakyat Sabah adalah pengiktirafan rasmi terhadap hak tersebut, bukan sekadar bayaran sementara atau janji bersyarat. Beliau menegaskan perjuangan ini bukan perjuangan parti atau individu, tetapi perjuangan rakyat Sabah untuk mendapatkan kembali hak yang telah lama termaktub.
“Kami menuntut pelaksanaan sebenar, bukan sekadar rundingan berpanjangan. Hanya dengan tindakan rasmi mengiktiraf dan melaksanakan hak 40 peratus ini, barulah semangat Malaysia yang sebenar dapat ditegakkan berasaskan keadilan,” tegasnya.






