Varian Baharu HIV Lebih Maut

Varian Baharu HIV Lebih Maut

0
SHARE

WASHINGTON, AS – Varian HIV yang lebih merbahaya telah ditemui oleh pasukan saintis Universiti Oxford dimana ianya mempunyai jangkitan 3.5 hingga 5.5 kali ganda lebih banyak berbanding varian lain.

Menurut laporan AFP, varian yang dinamakan VB itu membuatkan imunisasi pesakit yang dijangkiti varian tersebut merosot dengan lebih cepat.

Difahamkan varian HIV tersebut sudah lama menular di Belanda selama beberapa dekad dan analisis varian itu telah pun diterbitkan dalam jurnal Science semalam.

Sementara itu, dalam kajian yang sama, selepas rawatan dimulakan, individu dijangkiti varian VB pulih dan mempunyai peluang untuk hidup yang sama seperti pesakit HIV lain…

“Tiada sebab untuk cemas berhubung varian baharu ini,” kata ahli epidemiologi Oxford, Chris Wymant selaku penulis utama kajian itu kepada agensi berita AFP.

Varian VB dipercayai mula wujud pada akhir 1980-an dan awal 1990-an di Belanda, demikian menurut kumpulan penyelidik tersebut tetapi mula berkurangan sekitar 2010.

“Penemuan kami memberi penekanan kepada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia supaya individu berisiko mendapat HIV mempunyai akses kepada ujian berkala untuk mendapatkan pengesanan awal dan disusuli rawatan segera,” kata pengarang bersama, Christophe Fraser yang juga saintis Oxford.

Ujarnya, penemuan varian baharu HIV itu juga perlu dianggap sebagai satu amaran.

“Kita tidak boleh terlalu yakin dengan menyatakan bahawa virus akan berevolusi menjadi kurang berbahaya,” kata Wymant sambil menambah, penemuan varian Delta membuktikan perkara tersebut.

Virus HIV yang menyebabkan penyakit sindrom kurang daya tahan penyakit telah menjejaskan 38 juta penduduk di seluruh dunia dan meragut sekitar 33 juta nyawa setakat ini.