KUCHING, SARAWAK – Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mendedahkan bahawa varian Omicron kini dilihat sebagai varian dominan yang menggantikan varian Delta dalam penularan jangkitan COVID-19 di Sarawak
Pengarahnya, Prof Dr David Perera berkata, daripada tempoh pemerhatian yang dibuat pada 3 hingga 26 Januari tahun ini, data menunjukkan kadar pengesanan keseluruhan kes positif COVID-19 varian Omicron di Sarawak telah mencapai 78 peratus.
Menurut laporan Astro Awani, daripada 58 sempel yang diproses, 45 varian Omicron dan 13 varian Delta telah dikesan.
“Kadar pengesanan 78 peratus varian Omicron daripada keseluruhan sampel itu sekali gus menggantikan Delta sebagai varian dominan di Sarawak…
“Sampel yang dikaji diperoleh daripada bahagian Kuching, Samarahan, Sibu, Kapit, Mukah dan Miri yang juga majoritinya daripada BA. 1.1, namun jenis yang lebih mudah berjangkit iaitu BA. 2 dikesan membabitkan tiga kes di Kapit,” jelasnya.
Perkara itu dilaporkan ICHM UNIMAS kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Ahad.
Sementara itu, merangkap ahli Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG), Dr. David berkata,
kebanyakkan kes adalah disebabkan jangkitan melalui komuniti…
“Maka siapa yang belum belum mendapatkan suntikan penggalak dinasihatkan untuk melakukannya segera kerana kajian telah membuktikan vaksin penggalak perlu untuk meningkatkan paras amaran neutralisasi antibodi daripada jangkitan Omicron.
“Masyarakat perlu mematuhi sebaik-baiknya garis panduan (SOP) dan elakkan daripada mengadakan perjumpaan untuk mengelakkan jangkitan yang lebih jauh di peringkat komuniti,” katanya.