Victor Sumbang 1 Kanopi untuk 1 Mukim di Seluruh Tambunan, Sokong Program...

Victor Sumbang 1 Kanopi untuk 1 Mukim di Seluruh Tambunan, Sokong Program Masyarakat

0
SHARE

KENINGAU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor Peter Paut hari ini mengumumkan pemberian sumbangan satu kanopi bagi setiap mukim di seluruh daerah Tambunan.

Katanya, sumbangan itu sebagai salah satu usaha menyokong penganjuran program kemasyarakatan serta mengurangkan beban kos yang ditanggung penduduk.

Jelas Victor, inisiatif itu bertujuan membantu komuniti menganjurkan pelbagai aktiviti di peringkat kampung termasuk program kebudayaan, keagamaan dan kemasyarakatan, sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di daerah berkenaan.

“Sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban komuniti selain sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti atau program di peringkat kampung sama ada berkaitan kebudayaan, acara keagamaan dan sebagainya.

“Sumbangan ini juga akan dapat mengurangkan kos jika terdapat penganjuran sebarang program atau aktiviti di mukim berkenaan. Kita menyokong pelaksanaan program masyarakat serta mengukuhkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Tambunan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn. Bhd. berkata, program sumbangan itu sebenarnya telah dilaksanakan sejak tahun 2024.

Menurutnya, mana-mana mukim di daerah Tambunan yang masih belum menerima sumbangan kanopi berkenaan boleh menghubungi atau membuat rujukan di Pejabat PGRS Tambunan pada waktu pejabat bagi tujuan penyelarasan.

Daerah Tambunan ketika ini mempunyai tujuh mukim iaitu Mukim Sunsuron, Mukim Kirokot, Mukim Patau, Mukim Lintuhun, Mukim Monsorulung, Mukim Nambayan dan Mukim Toboh yang merangkumi sebanyak 118 buah kampung.

Victor berharap kemudahan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk bagi menganjurkan pelbagai program yang memberi manfaat kepada komuniti, di samping terus memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat di seluruh daerah Tambunan.