HANOI, VIETNAM – Negara Vietnam dibadai Taufan Noru semalam dengan membawa angin kencang dan hujan lebat ketika beratus-ratus ribu penduduk berlindung di pusat-pusat perlindungan, kata pejabat meteorologi negara itu.
Di bandar Danang iaitu bandar ketiga terbesar di Vietnam, bangungan-bangunan tinggi bergoyang dibadai angin kencang yang turut menumbangkan pokok-pokok dan mencabut bumbung kediaman.
“Kedudukan pusat taufan ini setakat pukul 4 pagi (waktu tempatan) semalam adalah di antara Danang dan Quang Nam,” kata Pusat Ramalan Hidrometeorologi Nasional sambil menambah, angin pula berkelajuan antara 103 hingga 117 kilometer sejam.
Lebih 200,000 orang di Vietnam mencari perlindungan selepas ramalan cuaca menjangkakan ribut itu adalah antara yang terbesar melanda negara Asia Tenggara tersebut.
Kelajuan angin adalah lebih perlahan daripada jangkaan, tetapi agensi meteorologi berkata, hujan akan berterusan ke siang hari dengan risiko tanah runtuh dan banjir serius.
Kementerian Pertahanan Vietnam menggerakkan kira-kira 40,000 askar dan 200,000 anggota militia dilengkapi kenderaan perisai serta bot sebagai persediaan operasi menyelamat dan bantuan, kata media pemerintah.
Hampir separuh lapangan terbang di Vietnam ditutup, begitu juga sekolah dan pejabat di beberapa wilayah tengah negara itu termasuk Danang, manakala penduduk bergegas pulang ke kediaman masing-masing kelmarin.
Seksyen tengah lebuh raya menghubungkan Hanoi di utara dengan hab komersial, Bandar Raya Ho Chi Mih di selatan juga ditutup.
Semua persediaan itu dilakukan selepas Taufan Super Noru menghentam Filippina awal minggu ini, menyebabkan enam orang terbunuh.
Menurut pihak berkuasa Vietnam lewat kelmarin, hampir 260,000 penduduk telah dipindahkan daripada kediaman mereka.
“Saya mahu berpindah. Rumah saya tidak kukuh. Saya bimbang bumbungnya akan tercabut ditiup angin taufan,” kata seorang penduduk Huynh Mua.