TENOM: Seorang wanita warga emas cedera ringan manakala dua buah kenderaan musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Chinta Mata Bukit, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 74 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan sebelum dihantar ke Hospital Tenom oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Komander Operasi, PBK II Sabunus Sia, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 40 x 35 kaki yang terbakar kira-kira 80 peratus, selain memusnahkan dua buah kenderaan yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.00 pagi dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian. Kebakaran dipercayai bermula dari salah sebuah kenderaan sebelum merebak ke rumah berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, dengan sumber air daripada tangki jentera.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.18 pagi dan operasi ditamatkan 20 minit kemudian selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tenom terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti, selain kerjasama agensi lain termasuk Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia.






