WHO Dalam Usaha Tangani Varian Baharu COVID-19

WHO Dalam Usaha Tangani Varian Baharu COVID-19

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

GENEVA, SWITZERLAND – Pakar kesihatan global bersidang semalam dalam usaha menangani kemunculan varian baharu COVID-19 yang menyebabkan lonjakan kes di seluruh dunia ketika beberapa negara termasuk Britain dan Perancis memperketatkan sekatan bagi membendung penularan pandemik itu.

Sidang Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu diadakan ketika kumpulan saintis mereka berusaha menyelidiki asal usul virus berkenaan dalam misi tertunda ke kawasan pandemik di Wuhan, China.

Memetik laporan AFP, hampir dua juta daripada lebih 91 juta orang yang dijangkiti virus itu meninggal dunia dengan andaian angka berkenaan tidak memaparkan keadaan sebenar di lapangan.

“Ketika pertama kali bertemu hampir setahun lalu, hanya 557 kes penyakit yang sekarang kita panggil COVID-19 dilaporkan kepada WHO,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ucapan pembukaannya pada pertemuan kecemasan itu.

Tedros Adhanom Ghebreyesus…

Banyak negara berdepan gelombang kedua atau ketiga jangkitan dengan penduduk berdepan sekatan dan ekonomi merudum.

Britain yang terkesan akibat varian baharu dari Brazil mengumumkan larangan ketibaan pengembara dari Amerika Selatan, Panama, Cape Verde dan Portugal.

Varian baharu yang dikenali sebagai E484K, pada awalnya dikesan di Afrika Selatan dan varian berikutnya di Brazil dan Jepun, sekali gus menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan penyelidik mengenai kemungkinan kesannya terhadap imuniti.

Berikutan kebimbangan itu, Perancis akan mengenakan perintah berkurung setiap hari pada jam 6 petang mulai Sabtu dan kekal berkuat kuasa sekurang-kurangnya dua minggu.

Sementara itu Lubnan mengenakan perintah berkurung sepenuhnya semalam termasuk larangan membeli barang runcit.

Beberapa negara lain turut melaksanakan perintah berkurung termasuk China yang kembali menguatkuasakan sekatan itu.

Kemunculan varian baharu meningkatkan kebimbangan dan menjadi tumpuan persidangan WHO di Geneva semalam selepas puluhan negara melaporkan penularan varian berkenaan.

Jawatankuasa Kecemasan WHO kebiasaannya bersidang setiap tiga bulan, bagaimanapun ia terpaksa dilakukan lebih awal iaitu setiap dua minggu.