KOTA KINABALU, SABAH – Yayasan Sabah bersama G Capital Berhad telah memeterai perjanjian usaha sama untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui melalui loji janakuasa hidroelektrik mini di seluruh Sabah bagi melengkapkan penjanaan bekalan elektrik negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bahawa dengan memanfaatkan iklim dan sungai di negeri ini, loji janakuasa hidroelektrik mini adalah antara yang holistik penyelesaian kepada kekurangan bekalan kuasa di negeri ini.
“Saya yakin perjanjian usaha sama ini akan menyumbang kepada kuasa yang stabil membekalkan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan menarik pelaburan berkualiti,” katanya.
“Penjanaan tenaga hijau seperti loji janakuasa hidroelektrik kecil akan menarik lebih ramai pelabur, terutamanya mereka yang mengutamakan tenaga hijau dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
“Ia akan menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Sabah selain memberi manfaat kepada industri dan komuniti tempatan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, dan mewujudkan laluan untuk kerjaya profesional.
“Malah, baru-baru ini Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang Tenaga Boleh Diperbaharui (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022 yang membuka jalan kepada penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah sendiri untuk menguruskan sepenuhnya bekalan kuasa negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Innoprise Synergy Sdn Bhd, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata pihaknya telah mengenal pasti sebanyak lima sungai di Sabah untuk perancangan pelaksanaan projek terbabit.
“Kita telah membuat penilaian awal di beberapa lokasi sekitar Sabah. Antara lokasi tersebut termasuk Sungai Bayoyo, Sungai Rayoh, Sungai Mokodou, Sungai Wariu dan Sungau Panatara dengan anggaran jumlah kapasiti 65 MW…
“Berdasarkan kajian awal, sungai tersebut adalah amat sesuai untuk pembangunan loji janakuasa hidroelektrik mini…
“Struktur loji janakuasa hidroelektrik mini tidak perlukan empangan yang besar. Reka bentuk kebiasaannya mengikuti bentuk tanah tapak projek dengan penggunaan tenaga graviti.
“Hasilnya, ia hanya memberi kesan minima kepada persekitaran tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Pandikar Amin pihak usahasama akan mengadakan aktiviti pengumpulan dana secara bentuk ekuiti dan bon untuk membiayai kos pembangunan projek tersebut.
“Pada peringkat pertama, rancangan kita adalah untuk mengumpul sebanyak RM3 bilion…
“Memandangkan potensi pelaburan asing yang akan ditarik dengan pembangunan loji janakuasa hidroelektrik mini dan pengalihan ke arah tenaga hijau, Yayasan Sabah akan menyokong projek ini.
“Tambahan pula, sebagai pemilik aset tenaga boleh diperbaharui ini, kita bersedia untuk melabur dan mengambil alih projek ini sekiranya ada keperluan,” katanya.