TAWAU: Sebanyak 16 rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, di sini, malam Jumaat, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 300 rumah lain daripada turut terbakar.
Kejadian kira-kira jam 9.31 malam itu membabitkan deretan rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus, meliputi kawasan dianggarkan berukuran 52 kali 95 meter.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, PPgB Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 9.31 malam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi tiga minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba, didapati kebakaran membabitkan rumah kediaman jenis tidak kekal dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengelakkan api merebak ke kawasan berhampiran.
“Sebanyak 16 rumah musnah sepenuhnya, namun kira-kira 300 rumah lain berjaya diselamatkan daripada turut terbakar,” katanya ketika memaklumkan kejadian itu.
Menurutnya, operasi pemadaman membabitkan keseluruhan 45 anggota termasuk bantuan BBP Kunak dan Bomba Komuniti Titingan.
“Pasukan bomba menggunakan tiga aliran sepanjang 400 kaki dengan lima pancutan air yang diperoleh daripada tangki jentera, pili bomba berhampiran serta sumber air terbuka.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.55 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya.
Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Air dan Sabah Electricity.
Selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.25 pagi Sabtu.






