NEW DELHI, INDIA – Kerajaan India dalam satu kenyataan semalam memaklumkan LAPAN (8) ekor singa Asia di taman haiwan negara itu telah dijangkiti COVID-19
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa India di wilayah selatan Hyderabad itu mendedahkan bahawa tiada bukti haiwan itu boleh menjangkiti manusia dengan berkongsi sampel di makmal kajian kerajaan pada 24 Mac lalu selepas singa terbabit menunjukkan tanda mengalami masalah pernafasan.
Hasil ujian yang dijalankan ke atas singa terbabit diperoleh di tengah-tengah kenaikan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan penduduk di India.
“Berdasarkan pengalaman dengan haiwan di taman haiwan lain di dunia yang pernah positif SARS-COV2 tahun lalu, tiada bukti bahawa haiwan boleh menyebarkan virus itu kepada manusia,” menurut Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim.
Taman Haiwan Nehru kini sudah ditutup, menurutnya dalam satu kenyataan.