Penyokong Parti Tidak Dibenarkan Iringi Calon Pada Hari Penamaan Calon PRN Melaka...

Penyokong Parti Tidak Dibenarkan Iringi Calon Pada Hari Penamaan Calon PRN Melaka Esok

0
SHARE

MELAKA – Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak mengingatkan kepada semua penyokong parti politik agar tidak dibenarkan hadir atau berarak mengiringi calon parti masing-masing ke 28 pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok (8 Nov).

Menurutnya, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

“Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon yang diadakan di 28 lokasi yang ditetapkan esok…

“Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan ketika menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

“SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Ikmalrudin berkata, SPR juga meminta semua calon dan parti politik agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jelasnya, esok, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 pusat penamaan calon berkenaan.

Beliau berkata, SPR menasihatkan bakal calon yang ingin bertanding dalam PRN Melaka agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Selain Itu bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dengan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.